|
Sasaran capai lebihan eksport tani RM1.2b
Dari
Motel ke bangsal cendawan
Belia 4B Pulai
Usahakan Tanaman Cendawan
Gigih
Usaha Cendawan Meskipun tangan lumpuh
Kajian: Kesan sinar gama ke atas cendawan Pleurotus sajor-caju (Fr.) Singer.
Sanjana Sains UKM, 1987
Baka
baru cendawan tiram ditemui

Baka baru cendawan tiram ditemui
YONG PENG:
Seorang pengusaha benih cendawan di sini, menemui baka baru cendawan tiram yang
lebih tebal, tahan penyakit serta mempunyai tempoh matang lebih singkat.
Pengusaha terbabit, Tian Ting Leng, 66, berkata cendawan tiram yang diberi nama
Tiram Baru 2 (TB2) itu dihasilkan melalui kaedah pembenihan spora yang dikajinya
sejak beberapa tahun lalu.
Katanya, sebelum ini beliau menghasilkan benih cendawan melalui kaedah
pembenihan tisu, tetapi pada masa yang sama, mencuba beberapa kaedah baru yang
boleh menghasilkan cendawan bermutu tinggi.
"Saya berjaya menghasilkan cendawan TB2 ini kira-kira tiga bulan lalu
selepas mengkajinya beberapa tahun. Saiz cendawan ini lebih besar serta
`payung'nya lebih tebal berbanding cendawan tiram yang biasa kita lihat di
pasaran.
"Benih ini sudah diusahakan oleh seorang penanam cendawan di Muar dan pada
tuaian pertama baru-baru ini TB2 yang beliau tanam menghasilkan lebih 200
kilogram," katanya.
Tian berkata, benih TB2 itu mencapai tempoh matang dan sedia untuk dituai dalam
tempoh hanya antara 30 ke 40 hari berbanding benih cendawan terdahulu yang
mengeluarkan hasil selepas 60 hingga 70 hari.
Katanya, untuk menghasilkan TB2 beliau mengambil spora cendawan tiram kelabu dan
tiram putih yang kemudian dikacukkan.
"Setiap bekas boleh menghasilkan antara 400 hingga 600 gram berbanding
cendawan tiram biasa yang hanya 200 hingga 300 gram dan bekas yang sama juga
boleh menghasilkan sehingga lapan kali tuaian.
"Tempoh untuk TB2 bercambah semula juga agak singkat iaitu hanya seminggu
berbanding dua minggu bagi benih cendawan tiram terdahulu," katanya.
Tian yang juga bekas Pengarah Sekolah Henry Gurney, Melaka, berkata beliau mula
berminat mengkaji benih cendawan selepas menyedari semakin ramai yang
mengusahakan tanaman itu.
"Saya menjalankan kajian demi kajian selepas mengetahui tanaman cendawan
berisiko diserang penyakit dan beberapa kaedah yang saya jalankan berjaya
mengatasi masalah itu.
"Saya akan terus membuat kajian kerana yakin usaha saya dapat membantu
industri pertanian negara dan percaya benih yang dihasilkan mampu menambah
pengeluaran cendawan tiram yang permintaannya semakin meningkat," katanya.
Beliau juga sedia berkongsi maklumat serta kemahiran dengan pengusaha tanaman
cendawan tiram.
Pengusaha yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai TB2 boleh
menghubungi 07-4676196 atau 012-6218317.
Selain TB2 beliau turut menghasilkan cendawan untuk perubatan antaranya cendawan
telinga kera dan cendawan teh.
Oleh Mohd
Roji Abdullah
Sumber:
Berita Harian 4 Julai, 2006
|