|
Sasaran capai lebihan eksport tani RM1.2b
Dari
Motel ke bangsal cendawan
Belia 4B Pulai
Usahakan Tanaman Cendawan
Gigih
Usaha Cendawan Meskipun tangan lumpuh
Kajian: Kesan sinar gama ke atas cendawan Pleurotus sajor-caju (Fr.) Singer.
Sanjana Sains UKM, 1987
Baka
baru cendawan tiram ditemui

Sasaran capai lebihan eksport tani RM1.2b
PUTRAJAYA 29 Nov. - Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani mensasarkan negara mampu mencapai
lebihan eksport bahan makanan berbanding import hingga
mencecah RM1.2 bilion menjelang 2010 berikutan peningkatan
keupayaan sektor pertanian dan industri pertanian negara.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin
Mohd. Yassin berkata, sasaran utama kementerian itu ialah mengubah
defisit import bahan makanan sejak beberapa tahun lalu
kepada lebihan eksport bagi memastikan sektor pertanian
terus menjadi penjana utama ekonomi.
Tahun lalu sahaja defisit dalam imbangan
bahan makanan negara mencecah RM6 bilion. Jadi kita mahu
peningkatan eksport bahan makanan dan pengurangan import
menjadi strategi jangka panjang dalam Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK-9).
Antara hasil pertanian yang telah
dikenal pasti untuk dieksport ialah buah-buahan seperti
betik, tembikai, mangga, durian dan nenas. Komoditi lain
ialah tanaman seperti padi, sayur-sayuran dan kelapa yang
berpotensi mengurang defisit import makanan negara,''
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) antara
Jabatan Pertanian dan Universiti Malaya (UM) serta
merasmikan Seminar Industri Cendawan, di sini hari
ini.
Mou bagi penyelidikan dan pembangunan
(R&D) cendawan itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah
Jabatan Pertanian, Datuk Khamsiah Muhammad dan Naib Canselor
UM, Prof. Datuk Dr. Hashim Yaakob.
Kata Muhyiddin, langkah-langkah
yang dikenal pasti untuk meningkatkan pengeluaran makanan
negara ialah melibatkan pihak swasta dengan menyediakan
lebih banyak insentif termasuk dalam bioteknologi untuk
pertanian selain meningkatkan kualiti produk tanaman negara
menerusi keupayaan R&D.
Ketika mengulas mengenai
industri cendawan negara, beliau berkata, industri itu masih kecil dengan
hanya terdapat 91 pengusaha yang menghasilkan sekitar 1.5
juta kilogram setahun.
Beliau berkata,
eksport cendawan negara
hanya berjumlah 170,000 kilogram dengan pendapatan berjumlah
RM1.4 juta, jauh lebih rendah berbanding import purata iaitu
2.6 juta kilogram atau RM26 juta setahun.
Dengan R&D seperti yang telah
dilaksanakan oleh UM, kita mampu menanam pelbagai cendawan
baru termasuk baka cendawan yang kita import sebelum ini
melalui pengunaan teknologi rumah kaca atau rumah hijau bagi
mengawal suhu persekitaran.
Para penyelidik UM juga berjaya
menghasilkan cendawan melalui kaedah kultur tisu yang boleh
memendekkan tempoh tanaman daripada dua hingga tiga bulan
kepada dua atau tiga minggu.
Tempoh
yang pendek ini dapat menjimatkan lebih 50 peratus kos
pengeluaran dan hasilnya boleh dijual pada harga lebih murah,''
katanya.
|